Thursday 28 June 2012

Ibnu Kathir qari terkenal Mekah

Ibnu Kathir qari terkenal Mekah












Qiraat ibn Kathir al-Makki menjadi amalan majoriti penduduk Islam Mekah.


Imam Ibn Kathir adalah tokoh al-Quran di Mekah al-Mukarramah. Nama penuhnya ialah Abdullah Ibn Umar Ibn Abdullah Ibn Zadan. Beliau lahir pada tahun 45 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 120 hijrah.
Ibn Kathir yang dibincangkan di sini ialah qari yang terkenal di kota Mekah dan bukannya Ibn Kathir yang menulis kitab tafsir yang dikenali sebagai tafsir Ibn Kathir.
Penulis kitab tafsir Ibn Kathir bernama Ismail Ibn Umar Ibn Kathir, lahir pada tahun 700 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 774 hijrah di Syria.
Penjelasan sebegini amat penting kepada awam supaya tidak terkeliru dengan nama Ibn Kathir. Di mana terdapat Ibn Kathir yang alim dalam bidang qiraat dan Ibn Kathir yang alim dalam bidang tafsir.
Di kalangan Qurra Tujuh, jika dilihat dari sudut tarikh lahir, qari yang paling senior ialah Imam Ibn Kathir.
Beliau sempat berjumpa dengan beberapa sahabat Rasulullah SAW dan meriwayat daripada mereka. Antara mereka ialah Abdullah Ibn al-Zubair, Abu Ayyub al-Ansari, Anas Ibnn Malik dan lain-lain.
Dalam pengajian al-Quran, Ibn Kathir menekuni bacaan al-Quran daripada beberapa guru antaranya ialah Dirbas iaitu hamba Ibn Abbas ra, Mujahid Ibn Jabr, Abdullah Ibn al-Saib dan lain-lain. Jalur sanad Ibn Kathir daripada gurunya Abdullah Ibn al-Saib adalah amat hampir dengan Rasulullah SAW.
Di mana Abdullah Ibn al-Saib mengambil al-Quran daripada gurunya Ubay Ibn Kaab dan Umar Ibn al-Khattab r.a. Dan kedua-dua sahabat r.a ini mengambil al-Quran daripada Rasulullah SAW.
Perlu diberi perhatian bahawa Imam Syafie yang membesar di Kota Mekah telah menjadikan qiraat Ibn Kathir sebagai amalannya.
Beliau memujinya dengan berkata: "Qiraat kami adalah qiraat Ibn Kathir dan aku mendapati ia menjadi amalan penduduk Mekah."
Semasa hayatnya, Ibn Kathir adalah rujukan utama penduduk Mekah dalam permasalahan bacaan al-Quran. Ramai di kalangan mereka yang bertalaqqi al-Quran dan menjadi muridnya.
Antara mereka ialah al-Khalil Ibn Ahmad, Hammad Ibn Salamah, Sufiyan Ibn 'Uyainah, Abu Amru Ibn al-Ala' dan lain-lain.
Abu Amru Ibn al-Ala' pernah menyatakan: "Aku khatam al-Quran di hadapan Ibn Kathir selepas aku khatam di hadapan Mujahid dan Ibn Kathir lebih alim dalam ilmu bahasa arab berbanding Mujahid."
Walaupun Ibn Kathir mempunyai ramai murid namun perawinya mengambil qiraatnya secara perantaraan.
Perawi pertamanya ialah al-Bazzi. Beliau lahir pada tahun 170 hijrah dan meninggal pada tahun 250 hijrah. Beliau bertugas sebagai bilal di Masjid al-Haram dan juga imam selama 40 tahun.
Perawi keduanya ialah Qunbul. Lahir pada tahun 195 hijrah dan meninggal pada tahun 291 hijrah. Jika dilihat tarikh meninggal Ibn Kathir iaitu pada 120 hijrah dan tarikh lahir kedua perawinya iaitu 170 hijrah dan 195 hijrah, satu persoalan bermain di fikiran kita bagaimana al-Bazzi dan Qunbul boleh menjadi perawi kepada Ibn Kathir?
Jawapannya adalah kedua-duanya adalah perawi Ibn Kathir dan mengambil Qiraat Ibn Kathir secara perantaraan atau disebut wasitah.
Kedua-duanya mengamal Qiraat Ibn Kathir dan mengajarnya kepada penduduk Kota Mekah.
Qiraat Ibn Kathir dan perawinya tidak berkembang sebagaimana Riwayat Hafs, Riwayat Warsy, Qalun atau al-Duri. Maskipun begitu, Qiraat Ibn Kathir boleh dipelajari di pusat pengajian al-Quran sama ada dalam atau luar negara.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


Posted by Ershad

No comments:

Post a Comment